‘Baby Boom’ atau tidak, Sarawak sentiasa bersedia – Fatimah Abdullah

Kerajaan negeri Sarawak memperkenalkan dua inisiatif utama khusus kepada bayi baru lahir dan ibu bersalin. – Foto Facebook Fatimah Abdullah

KUALA LUMPUR: Fenomena kelahiran bayi luar biasa atau 'Baby Boom' diramal berlaku di Malaysia hujung tahun ini hingga awal Januari tahun depan.

Ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac lepas.

Perkara ini mendapat perhatian Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

"Ini adalah kerajaan yang prihatin.

"Baby Boomers atau tidak, Sarawak cukup besar untuk menampung kelahiran bayi baru lahir dan kami menyambut baik kelahiran anda," kata Fatimah menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah menjelaskan, KWKPK memantau jumlah bayi yang dilahirkan di Sarawak sejak 2019.

Katanya, jika 'Baby Boom' benar benar berlaku, Sarawak bersedia bukan hanya dari segi kemudahan, malah bantuan khas kerajaan.

Ia termasuk Inisiatif Endowment Fund Sarawak (EFS) berjumlah RM1,000 bagi setiap kelahiran anak jati Sarawak.

EFS diberikan sebagai dana pembiayaan bagi menampung kos pendaftaran serta perbelanjaan awal penerima apabila mereka melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Untuk tujuan ini, RM40 juta diperuntukkan pada 2019 dan RM30 juta bagi 2020.

Tahun ini juga, Kerajaan Negeri Sarawak memperkenalkan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) berjumlah RM450 bagi meringankan beban perbelanjaan golongan ini.

Jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM18 juta.

Jelas Fatimah, pemantauan secara bulanan dilakukan KWKPK bagi memastikan kelancaran pelaksanaan EFS dan BIB dan golongan sasar mendapat manfaat.