ATM nafi keluar produk guna nama ‘Operasi Penawar’, logo ATM-PDRM

Antara produk yang menggunakan nama operasi dan logo ATM dan PDRM yang dikesan di dalam talian.

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan mengeluarkan beberapa produk termasuk penutup hidung dan mulut dengan tulisan 'Operasi Penawar' lengkap dengan logo pasukan keselamatan untuk dijual kepada orang awam.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya mengesan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjual produk berkenaan yang memaparkan logo ATM serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara dalam talian.

"ATM tidak mengeluarkan produk baju dan topeng muka (penutup hidung dan mulut) memaparkan nama 'Operasi Penawar' serta mengguna pakai logo ATM-PDRM yang dijual melalui laman jualan dalam talian dan media sosial.

"Ditegaskan, mana-mana pihak tidak boleh mengeluarkan, menjual, membeli dan menggunakan sebarang produk yang memaparkan nama 'Operasi Penawar' dan logo ATM-PDRM tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, pihak terbabit cuba mengambil kesempatan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah produk tersebut boleh disalah guna oleh individu atau pihak tertentu untuk mengelirukan orang awam.

"Pada masa sama, ia mencemarkan nama baik dan peranan kedua-dua pasukan keselamatan ini yang tidak berteraskan sebarang keuntungan perniagaan," jelasnya.