“Anda, wira tidak didendang” – PM rakam penghargaan buat golongan belia jayakan PKPB

Sokongan golongan belia dalam membantu menjayakan kempen duduk di rumah bantu kerajaan yakinkan rakyat mengenai kesedaran tangani penularan COVID-19. – Gambar fail

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menganggap golongan belia sebagai wira yang tidak didendangkan dalam usaha mereka membantu kerajaan meningkatkan kesedaran mengenai langkah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2020 hari ini, beliau berkata, ramai golongan belia yang berpengaruh di media sosial yang telah menunjukkan sokongan terhadap kempen “Stay At Home”, “Duduk Rumah” dan “Kekal Tenang”.

Hasil daripada sokongan itu, Muhyiddin berkata, ia membantu kerajaan untuk meyakinkan rakyat bahawa pentingnya kesedaran itu demi menangani penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ini.

“Para pemimpin belia, agamawan muda dan artis belia yang berpengaruh di media sosial turut memberi sokongan dengan kempen “Stay At Home”, “Duduk Rumah” dan “Kekal Tenang” sebagai usaha dalam memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia terhadap kepentingan untuk menjayakan usaha PKPB ini.

“Anda semua adalah wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan. Semoga anda memperoleh ganjaran yang baik dalam kehidupan,” ujarnya lagi.

Bercakap mengenai Hari Belia Negara yang bertemakan – “Dekad Ini, Dekad Anda”, Perdana Menteri memaklumkan sambutan tahunan terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Namun, beliau berkata, pemilihan tema itu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk berganding bahu mengiktiraf golongan belia sebagai penyumbang utama kepada hala tuju pembangunan negara.

“Saya percaya bahawa belia pada hari ini juga perlu menerima, menghayati dan mengambil bahagian dalam normal baharu yang sedang berlaku susulan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.
 
“Gaya hidup dan cara bekerja yang dahulu perlu berubah sesuai dengan keadaan semasa terutama pada masa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB di seluruh negara,” katanya lagi.

Atas sebab itu, Muhyiddin berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bukan sahaja untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 tetapi memastikan golongan belia tidak tercicir dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan, tinjauan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia menunjukkan 95.8 peratus belia menyokong inisiatif bantuan kewangan kerajaan menerusi Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk mendayaupayakan ekonomi belia yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Selain itu, katanya lagi, 78.7 peratus belia pula melihat inisiatif kerajaan itu mampu meningkatkan semula ekonomi negara.

“Dapatan ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa perancangan yang dibuat oleh kerajaan ini selari dengan harapan golongan belia. Namun, saya yakin, masih banyak lagi usaha yang perlu kita laksanakan bersama bagi menangani keadaan selepas wabak COVID-19 berakhir.
 
“Adalah diharapkan, peruntukan hampir RM10 bilion yang telah diumumkan oleh Kerajaan sebelum ini dapat dimanfaatkan oleh semua golongan belia,” katanya lagi.