10 berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

10 berita tempatan yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 28 Mei 2020.

ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 28 Mei 2020.

1) Khidmat van jenazah percuma 'Abang Pilot' diteruskan sepanjang PKPB

Terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, kumpulan ini menjadikan aktiviti menghantar dan mengebumikan jenazah sebagai kerja amal tanpa mengenakan bayaran.

2) Ingkar PKPB: 27 lagi mat rempit ditahan, 56 saman dikeluarkan

Perbuatan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul secara beramai-ramai di suatu lokasi, selain tindakan berani sekumpulan remaja menunjukkan aksi lagak bahaya menggunakan motosikal masing-masing, akhirnya membawa padah.

Ia selepas 27 remaja berusia 14 hingga 26 tahun ditahan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dalam satu Operasi Samseng Jalanan di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil pada Rabu.

3) Rentas negeri: Penjawat awam didenda RM1,800 palsukan dokumen untuk sambut Aidilfitri

Seorang penjawat awam didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, pada Khamis, kerana memalsukan dokumen kebenaran merentas negeri untuk membolehkannya tinggal lebih masa di kampung untuk menyambut Aidilfitri.

4) Bawa pulang PATI, contohi Indonesia, Nepal dan Bangladesh – Ismail Sabri

Malaysia berharap kerajaan negara negara lain mencontohi Indonesia, Nepal dan Bangladesh yang membawa pulang pendatang tanpa izin (PATI) ditahan di negara ini yang disahkan negatif COVID-19.

5) COVID-19: Hanya 10 kes baharu, rekod jangkitan harian paling rendah

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kes tersebut melibatkan penularan tempatan dengan lima kes adalah warga asing.

6) Apa selepas PKPB? KKM pantau 2 minggu 'penting' ini

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi bayangan lebih banyak sektor sosial termasuk pendidikan akan dibuka, jika bilangan kes positif harian kekal rendah pada kadar satu atau dua digit selepas musim perayaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, berkata kementerian akan menentukan langkah seterusnya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berdasarkan dapatan statistik itu nanti.

7) Bawa pen sendiri jika khuatir berkongsi ketika isi butiran diri

Orang ramai dinasihatikan untuk membawa pen sendiri sekiranya sesuatu tempat itu tidak mempunyai aplikasi pengesanan kontak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka juga boleh mensanitasi tangan dan pen sebelum mengisi borang butiran diri sekiranya pen tersebut digunakan oleh orang ramai.

8) Penggunaan RTK-Antigen akan diperluas, jika perlu keputusan pantas

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertingkatkan penggunaan RTK-Antigen dalam melakukan saringan COVID-19 terutama bagi mendapatkan keputusan cepat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, sekiranya tiada keperluan untuk mendapatkan keputusan dengan cepat, pihaknya akan meneruskan ujian menerusi RT-PCR.

9) Pelajar baharu universiti awam, IPTS dibenar jalani sesi akademik mulai 1 Julai – KPT

Pelajar baharu universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) adalah antara lima kategori pelajar berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat.

Menerusi kenyataan pada Rabu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata pelajar yang bakal menjalani sesi akademik 2020/2021 itu dibenarkan untuk menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bermula seawal 1 Julai depan.

10) COVID-19: Muhyiddin adakan sidang video pantau perkembangan semasa

Perdana Menteri sempat meluangkan masa selama 40 minit untuk mengadakan sidang video bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada Khamis.