Yayasan Hasanah komited bantu rakyat

SERAMAI 454,592 penerima menerima manfaat sejak Yayasan Hasanah (Hasanah), sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) ditubuhkan pada Julai 2015.

Malah, Yayasan Hasanah terus komited melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan kesejahteraan rakyat terutama dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti dan seni budaya serta warisan, alam sekitar dan ilmu pengetahuan.

Pada 2019, Yayasan Hasanah turut menyalurkan dana kepada 113,431 penerima melalui 37 rakan strategiknya dengan jumlah peruntukan pelaburan sebanyak RM9.17 juta dalam pelbagai projek.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata, rakan strategik ini selalu menjadi kunci dalam mencari jalan penyelesaian yang menekankan isu sosial.

Menurutnya, di Hasanah, pihaknya bekerjasama dengan rakan strategik tempatan yang menekankan prinsip kepemimpinan dan kerjasama dalam ekosistem dengan mengekalkan kesan sosial.

“Untuk jangka masa lima tahun ini, ia adalah apa yang kita hendak capai setiap hari.

“Saya percaya Malaysia berada pada tahap dalam menghasilkan kesan sosial yang besar secara kolektif walaupun sekarang kita dalam proses peralihan yang pesat,” katanya dalam kenyataan media.

Shahira berkata, harapan Hasanah adalah membantu komuniti dan sosial menjadi rakyat Malaysia yang lebih kuat melalui kerjasama ini.

“Sektor sosial tidak akan bermakna jika tidak dapat menyesuaikan masa.

“Ini adalah sesuatu yang patut kita saksikan melalui kerjasama mengatasi isu Covid-19 di mana ia adalah cara terbaik untuk sektor sosial maju ke hadapan dengan bersatu melalui kerjasama, koordinasi, komunikasi, saling berhubung dan membina kapasiti serta kreadibiliti berterusan,” katanya.