Warga asing kantoi seludup rokok

SEORANG lelaki warga Indonesia ditahan di stesen minyak, Jalan Gugusan Felda Adela, di Kota Tinggi, semalam selepas dipercayai cuba menyeludup 500 karton rokok seludup bernilai RM50,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata lelaki berusia 35 itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, 8 pagi semalam.

Katanya, lelaki yang memandu kereta Proton Waja itu juga tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta yang dipandu lelaki terbabit, polis menemui 10 kotak yang didalamnya berisi 500 karton rokok seludup pelbagai jenama yang disorokkan di dalam kenderaan berkenaan.

“Semakan juga mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah dan dia kemudian dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ashmon berkata, suspek direman 14 hari sehingga 3 Jun depan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63”, katanya.