Wanita warga emas maut kemalangan

SEORANG wanita warga emas maut manakala suaminya cedera selepas Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan Proton Wira di Persiaran Hijau Kuning, Kampung Teluk, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa berusia 76 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Suami mangsa yang berusia 77 tahun dan pemandu Proton Wira dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 6.36 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba, Khairul Anuar Shaari tiba di lokasi 6.41 petang.

“Setibanya di lokasi didapati terdapat dua mangsa dalam Perodua Viva dan seorang mangsa dalam Proton Wira.

“Wanita dalam Perodua Viva itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM yang tiba di lokasi, manakala suaminya dan pemandu berusia 23 tahun itu hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, wanita yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi disertai lapan anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB).