Wajib kuarantin jika masuk Malaysia bermula esok [METROTV]

PENGUATKUASAAN kuarantin terhadap rakyat Malaysia dan warga asing yang kembali ke negara ini esok akan membabitkan semua pintu masuk di seluruh negara, sama ada melalui darat, laut dan udara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penguatkuasaan itu membabitkan semua pintu sempadan, termasuk di Johor Bharu, Utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Sebaik tiba di pintu sempadan, semua akan dibawa dengan bas terus ke pusat kuarantin yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama

Ismail Sabri berkata, ada pasukan bertindak khas yang mengendalikan rakyat Malaysia yang dibawa ke pusat kuarantin yang ditetapkan itu.

Menurut beliau, pasukan itu akan mengendalikan proses kuarantin ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pasukan khas ini akan menjaga kebajikan rakyat kita yang dikurantin selama 14 hari termasuk mengendalikan makan, minum dan kemudahan lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan