UTM hasilkan pondok nyah cemar automatik

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif mencipta atau Pondok Nyah Cemar Automatik dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19 di sini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, pondok terbabit dicipta menggunakan teknologi sensor pergerakan dan mekanik bendalir.

Katanya, ia terdiri daripada pam dan sistem semburan yang dihasilkan di Makmal Pengeluaran, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal UTM.

“Ringan dan mudah alih serta mudah digunakan, pondok nyah cemar ini berfungsi secara automatik yang mampu menyah cemar keseluruhan badan individu terutama petugas barisan hadapan seperti pihak hospital, pusat kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pondok ini menggunakan kaedah sensor untuk mengaktifkan penyembur nyah cemar secara automatik terhadap individu yang melalui pondok terbabit,” katanya pada majlis penyerahan Pondok Nyah Cemar Automatik UTM kepada Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Beliau berkata, projek itu adalah hasil usaha sama penyelidik dan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan yang terdiri daripada Sekolah Kejuruteraan Mekanikal serta Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan.

“UTM juga mengalu-alukan sumbangan daripada industri dan individu untuk turut sama dalam menangani penularan wabak Covid-19 memandangkan bekalan bahan mentah agak sukar diperolehi dan kos yang meningkat, katanya.

Pada program itu, sebanyak 10 pondok diserahkan kepada PBT berkenaan bagi kegunaan 350 kakitangan meliputi Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelesenan.

Adib Azhari berkata, ia sekali gus dapat membantu petugas berikutan mereka tidak dapat elak daripada berdepan orang ramai dan inisiatif itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kesan risiko yang dihadapi kakitangan MBJB.

Terdahulu, UTM turut menyalurkan bantuan seperti menghasilkan kotak penyembur udara, topeng pelindung muka serta pembasmi kuman ciptaan universiti itu kepada petugas barisan hadapan seperti Hospital Permai, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Kluang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19