UTC Pahang masih ditutup

PENUTUPAN operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, di Kuantan, dilanjutkan sehingga 9 Jun depan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, langkah itu bagi menyekat penularan Covid-19.

Katanya, arahan penutupan UTC Pahang juga berdasarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun depan.

“Sehubungan itu, orang ramai diharap mengambil maklum berhubung penutupan itu.

“Mereka yang ingin melakukan urusan boleh berbuat demikian di pejabat dan agensi kerajaan berhampiran untuksebarang perkhidmatan ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan di UTC Pahang hari ini mendapati masih ada orang ramai yang ingin melakukan urusan kerana menjangkakan UTC kembali beroperasi.

Peniaga buah, Zailani Muhammad, 43, mahu memperbaharuhi lesen memandu.

“Saya jangkakan UTC Pahang sudah mula beroperasi kerana kebanyakan pejabat kerajaan sudah mula beroperasi sejak kelmarin.

“Ini bermakna saya perlu ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Indera Mahkota,” katanya.

Sementara itu, Kasmadiana Ibrahim, 34, berada di UTC kerana pelbagai urusan termasuk membayar cukai tanah dan cukai taksiran.

“Segalanya lebih mudah dan cepat jika UTC kembali beroperasi tetapi saya terpaksa ke Pejabat Tanah dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk urusan pembayaran,” katanya.