Ujian kesan individu terdedah Covid-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan perbincangan untuk menjalankan ujian antibodi di kawasan setempat bagi mengkaji bilangan individu dalam komuniti yang dijangkiti wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian itu bukan diagnosis tetapi bagi mengesan berapa ramai individu dalam komuniti yang terdedah dengan wabak itu tanpa sedar.

Katanya, KKM menyasarkan lapan kumpulan dan lokasi berisiko jangkitan Covid-19 seperti depot tahanan untuk menjalankan ujian berkenaan.

“Ujian itu menggunakan kit ujian antibodi yang cepat dan membolehkan kita mengukur antibodi.

“Ia sebahagian daripada kajian kami untuk mengesan lebih ramai pesakit. Mungkin mereka dijangkiti tetapi tidak dikesan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga menambah lima lagi makmal ujian pengesanan Covid-19 bagi membolehkan kajian kumpulan sasaran itu dilaksanakan dengan pantas.

“Jika kita lihat dalam tempoh dua bulan sebelum ini, makmal mampu melakukan 8,000 ujian saringan sehari dan kapasiti itu meningkat kepada 27,000 dan 30,000,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19