Ubi kayu bakar juadah Aidilfitri

UBI kayu bakar menjadi makanan tradisi Orang Asli suku Temiar di Pos Hendrop dekat Gua Musang untuk hidangan Aidilfitri.

Sambutan Aidilfitri dalam kalangan Orang Asli akan lebih meriah dengan membakar ubi kayu selain memasak nasi beras bukit dalam buluh.

Seorang wanita Orang Asli, Biah Pinang, 49, berkata, mereka masih mengamalkan tradisi turun-temurun nenek moyang dengan memakan tanaman diusahakan sendiri.

Menurutnya, walaupun zaman sudah berubah tetapi tanaman ubi kayu masih menjadi pilihan kerana mudah didapati di kawasan tempat tinggal mereka.

Katanya, musim perayaan begini kelihatan meriah di sekitar kampung kerana masing-masing membakar ubi kayu untuk dijadikan hidangan Aidilfitri.

“Mungkin keadaan seumpama itu tidak terdapat di kampung lain khususnya orang Melayu yang meriahnya membakar lemang untuk hidangan di pagi raya.

“Kita tidak mempunyai kemahiran membakar lemang dan tradisi kita bakar ubi kayu kerana mudah diperolehi dekat rumah sahaja,” katanya hari ini.

Seorang lagi wanita Orang Asli, Bibah Alang, 46, pula berkata, selain ubi kayu, penduduk Orang Asli turut mengusahakan tanaman pisang, ubi keledek dan jagung.

“Ubi kayu merupakan makanan asas dan kami mengusahakan sendiri tanaman itu di sekitar kawasan rumah.

“Bukan sahaja ubi kayu itu dibakar pada musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha tetapi digunakan juga apabila berlaku terputus bekalan beras,” katanya.

Dia mengakui mereka tidak perlu bersusah payah ke bandar kerana mempunyai banyak tanaman untuk mengalas perut sekeluarga.

“Keistimewaan ubi kayu adalah kerana isinya sedap dan dapat mengenyangkan perut dalam tempoh masa yang lama seperti makan nasi juga,” katanya.