Tunggu laporan kebakaran korban 5 beranak

KEBAKARAN memusnahkan sebuah rumah di Kampung Binsuluk, Membakut, sehingga mengorbankan lima beranak dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik atau dapur memasak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, bagaimanapun siasatan masih dijalankan termasuk menunggu laporan lengkap siasatan di lokasi kebakaran.

Beliau berkata, laporan berkenaan dijangka siap dalam tempoh terdekat ini.

“Saya tidak boleh buat sebarang kenyataan mengenai punca sebenar kebakaran itu kerana masih menunggu laporan lengkap pegawai yang kini berada di lokasi.

“Bagaimanapun, kebiasaannya punca kebakaran seperti kejadian itu berkemungkinan berpunca dari dapur atau masalah pendawaian elektrik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Aishah Awang Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya iaitu Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24 ditemui rentung dalam kejadian pagi tadi.

Bomba dilaporkan menerima panggilan pada 2.54 pagi sebelum kebakaran berkenaan dikawal pada 5 pagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkesempatan melawat ahli keluarga mangsa di Kampung Binsuluk, hari ini.

Beliau melahirkan simpati terhadap keluarga mangsa dan turut menghulurkan bantuan kilat termasuklah sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

Berita berkaitan:

  • Lima beranak rentung
  • Jeritan isteri, anak jadi penyelamat