Tukang sembelih tidak mengaku miliki pisau lipat

SEORANG tukang sembelih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan memiliki pisau lipat ketika ditahan polis yang membuat pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Mohd Faizal Awang, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau lipat di jalan tali air Kampung Gong Kiat, di Kuala Terengganu, jam 11.30 malam pada 9 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau satu bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan kerana melanggar PKP.

Noor Mazrinie membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan