Tujuh lepak sambil minum arak

BERKUMPUL sambil meminum arak, berjoging serta gagal memberikan alasan munasabah.

Itu antara kesalahan dilakukan 17 individu ditahan kerana didapati tidak mengendahkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka ditahan di beberapa lokasi antaranya Jalan SS 3/28, Bandar Utama, Taman Desaria, Sungai Way dan Flora Damansara.

“Di lokasi Jalan SS 3/28 seramai tujuh lelaki ditahan di taman permainan kerana berkumpul dan minum minuman keras di kawasan berkenaan pada 1 tengah hari.

“Selain itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan kerana berjoging di Bandar Utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Desa Mentari kerana memiliki plastik lutsinar mengandungi dadah.

Beliau berkata, tangkapan lain membabitkan gagal memberikan alasan munasabah untuk melakukan pergerakan.

Katanya, mereka yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan