Tragedi Ittifaqiyah: Sambung bicara Jun ini

PROSIDING bela diri remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran yang menyayat hati tiga tahun lalu, akan bersambung pada 11 dan 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata perkara itu dimaklumkan oleh pihak mahkamah menerusi e-mel yang dihantar pada 12 Mei lalu.

“Mahkamah menghantar e-mel tersebut selepas mendapatkan tarikh-tarikh yang sesuai daripada pihak pendakwaan dan peguam. Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh sambung bicara yang baharu namun telah dilapangkan,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp, hari ini.

Pada 20 April lalu, peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili remaja itu yang kini berumur 19 tahun memberitahu bahawa anak guamnya telah selesai memberi keterangan.

Beliau berkata pihak pembelaan akan memanggil tiga lagi saksi.

Remaja itu memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi pada 2 dan 3 Mac lalu.

Pada 28 Januari lalu, Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan remaja terbabit membela diri atas pertuduhan tersebut, manakala rakannya yang juga berumur 19 tahun dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membeli diri atas pertuduhan sama.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku 5.15 pagi itu, menyebabkan 21 pelajar dan dua warden maut, selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz tersebut.