Tinggi suara pertikai tugas polis

TINDAKAN lelaki warga Bangladesh berusia 38 tahun mempertikaikan tugas polis dan meninggikan suaranya mengundang padah apabila ditahan dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Lelaki itu antara 12 individu terdiri warga tempatan dan warga asing berusia 21 hingga 49 yang ditahan ketika sekatan jalan raya dan rondaan Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama menahan lelaki Indonesia berusia 33 tahun di taman permainan Jalan PJS8/14 Sungai Way jam 9.50 pagi kerana gagal memberi alasan munasabah.

Menurutnya, tangkapan kedua membabitkan lelaki Myanmar berusia 21 tahun di Plaza Tol Kota Damansara kerana gagal memberi alasan munasabah jam 2.50 petang semalam.

“Seterusnya polis menahan seorang lelaki dan seorang lelaki warga Filipina berusia 29 tahun di Jalan Kenanga, di sini, kerana gagal memberi alasan munasabah pergerakan mereka.

“Polis turut menahan dua lelaki Myanmar berusia 22 dan 26 tahun yang menaiki kereta Grab di sekatan jalan raya Royal Chulan, di sini menghala ke Mutiara Damansara kerana gagal memberi alasan munasabah pergerakan mereka jam 8.80 malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Nik Ezanee berkata, tangkapan kelima membabitkan lelaki Nepal berusia 47 tahun yang turut menaiki Grab di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam kerana gagal memberi alasan yang sama.

“Polis turut menahan lelaki Indonesia berusia 49 tahun di Jalan Cempaka, Kampung Sungai Kayu Ara Damansara kerana gagal memberi alasan munasabah pergerakannya 6 petang semalam.

“Tangkapan ketujuh membabitkan seorang lelaki Nigeria dan perempuan tempatan berusia 32 dan 24 tahun di Persiaran Surian, Damansara kerana memberi alasan sama,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi wanita Afrika Selatan berusia 21 tahun pula ditahan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam menaiki Grab selepas gagal memberi alasan yang munasabah mengenai pergerakannya.

“Mereka disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan