Tindakan tegas jual barangan berlogo PDRM, ATM

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu gerakan oleh individu tertentu menawarkan penjualan penutup hidung dan mulut serta baju berlogo PDRM/ Op Penawar 2020 yang tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam menjual, membeli dan menggunakan penutup hidung dan mulut serta baju mempunyai lambang pasukan keselamatan tanpa kebenaran.

Menurutnya, hanya anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) saja dibenarkan menggunakan penutup hidung dan mulut serta baju mempunyai logo itu.

“Sekiranya kegiatan ini masih berterusan, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut Seksyen 89 (b) Akta Polis 1967 yang boleh dikenakan denda RM500 atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Huzir berkata, polis tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sengaja mengambil kesempatan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini mempromosi barangan berlogo PDRM/ATM Op Penawar untuk dijual.