Tiga penagih dadah langgar PKP

TIGA lelaki yang ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut membawa bersama dadah di dalam kereta di Batu 6, Jalan Seremban-Port Dickson, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 10.45 pagi itu, anggota unit kereta peronda (MPV) yang dalam penugasan ‘Ops Covid-19’ menahan kereta Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki berusia 26 hingga 37 tahun.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap tubuh badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah.

“Seterusnya pemeriksaan di dalam kereta menjumpai tiga paket plastik lutsinar dan di dalamnya mengandungi ketulan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 2.80 gram dan dua peket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.20 gram,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson sebelum ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

“Semakan mendapati dua daripada tiga suspek itu mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan seorang tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Aidi Sham berkata, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson, esok untuk proses permohonan reman.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39 A (1), 12 (2), 15(1)(a) ADB 1952 dan Peraturan 11 (PKP) Akta 342.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan