Tiada solat sunat Aidilfitri di masjid di Sarawak

SOLAT Jumaat hanya dibenarkan diadakan di masjid seluruh negeri Sarawak mulai 22 Mei ini, namun dengan tidak lebih 12 jemaah.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, kebenaran itu diberi dengan syarat tertentu yang harus dipatuhi oleh semua pihak pengurusan masjid dan surau.

Beliau berkata, kebenaran solat Jumaat di masjid mulai minggu depan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Lembaga Fatwa Negeri Sarawak.

“Namun kebenaran itu diberi dengan syarat yang ditetapkan MIS iaitu hanya empat orang dan tidak melebihi 12 orang menunaikan solat Jumaat.

“Mereka yang dibenarkan itu ialah pegawai masjid iaitu imam, bilal dan merbot serta ahli jawatankuasa masjid itu sahaja dan mereka harus mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh MIS,” katanya pada sidang media khas di Majma’ Mall, di Petra Jaya, hari ini.

Sehubungan itu, Misnu merayu kerjasama semua pengurusan masjid dan surau agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan semua pihak.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha ketika mengadakan sidang media khas mengenai solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri, hari ini. FOTO Ihsan UKAS
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha ketika mengadakan sidang media khas mengenai solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri, hari ini. FOTO Ihsan UKAS

“Kita masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19 dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta majlis Keselamatan Negara (MKN) kita mengizinkan solat Jumaat diadakan dengan garis panduan yang amat ketat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata solat sunat Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei ini tidak dibenarkan diadakan di masjid atau surau, sebaliknya umat Islam disarankan supaya mengadakan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing.

“Langkah tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri di masjid itu diambil selepas kita menerima nasihat daripada Mufti Negeri, Datuk Kipli Yassin.

“Sehubungan itu, kita memohon umat Islam di Sarawak menerima hakikat ini dan kita boleh mengadakan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama keluarga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan