Tiada perintah berkurung di Seksyen 6

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan khabar angin Perintah Berkurung (lockdown) akan dikenakan di Seksyen 6, Shah Alam seperti tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ia susulan penyebaran gambar dan beberapa maklumat bukan sahaja di Facebook (FB), malah di WhatsApp terutama penduduk sekitar kawasan terbabit.

“Saya dimaklumkan terdapat khabar angin Seksyen 6 Shah Alam akan dikenakan ‘lockdown’. Perkara ini tidak benar sama sekali.

“Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hanya melakukan saringan komuniti awal buat golongan berisiko seperti warga emas dari rumah ke rumah.

“Saringan ini dilakukan percuma dan sebahagian usaha kerajaan negeri untuk membendung Covid-19,” kata beliau menerusi FB rasminya, hari ini.

Antara maklumat tersebar adalah ‘Seksyen 6 dah nak kena lockdown lorong dekat pasar, hati-hati semua’.

Malah, ada pengguna FB memuat naik status mengatakan ‘kami sudah kena kuarantin satu jalan’ serta khabar angin mengatakan lebih 30 kes dikesan di kawasan itu.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi FB meminta penduduk agar bertenang dan dinasihatkan untuk mendapatkan info dan maklumat sahih.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MBSA melakukan sekatan di laluan masuk Jalan Puyuh 6/1D, Seksyen 6, Shah Alam mulai 6 petang semalam.

“Sekatan ini bertujuan memudahkan Pejabat Kesihatan Daerah melakukan saringan untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

“Bagaimanapun sekatan ini tidak menghalang penduduk melakukan urusan harian, tetapi mengikut SOP dibenarkan.

“Sehubungan itu, semua penduduk dinasihatkan berada di dalam rumah masing-masing seperti diperintahkan iaitu bermula 8 malam sehingga 8 pagi seterusnya menetap di rumah sekiranya tiada urusan mendesak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan