Tiada bazar Ramadan di Sabah

KERAJAAN Sabah tidak membenarkan sebarang bazar Ramadan dianjurkan pada tahun ini di seluruh negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata langkah berkenaan adalah sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19 di negeri berkenaan.

“Perkara ini seiring dengan keputusan kerajaan negeri untuk tidak membenarkan penganjuran tamu dan pasar tani.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri bakal membuat pengumuman rasmi mengenainya termasuklah berkaitan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan waktu operasi setiap aktiviti yang ingin dijalankan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan ketibaan penghantaran bekalan perubatan di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

Sabah menerima beberapa bekalan perubatan termasuklah 200,000 keping penutup mulut dan hidung, 5,000 unit ‘reagent’ atau bahan uji Covid-19, 5,000 pasang sarung tangan, 10,000 liter cecair basmi kuman (hand sanitizer) dan pelbagai barangan kegunaan makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua barangan perubatan terbabit dihantar menggunakan pesawat khas Airbus A400 dari Skuadron 22 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Sementara itu, Safar berkata kerajaan negeri kini dalam proses memuktamadkan SOP berkenaan yang turut membabitkan waktu operasi di setiap pasar raya seluruh Sabah.

“Mungkin sebelum ini SOP dan waktu operasi tidak seragam namun sekarang kita hendak menyeragamkannya. Sebagai contoh, setiap pekerja dan pengunjung pasar raya harus memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.