Teruskan mengamal normal baharu – Agong

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, rakyat Malaysia mempamerkan disiplin tinggi dan sabar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua bulan lalu.

Baginda bertitah, banyak pengajaran yang dipelajari dalam menghadapi Covid-19.

Titah baginda, rakyat perlu bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk menyambut 1 Syawal bersama keluarga tercinta.

“Kita pelajari bahawa sesuatu virus dan sakit boleh menyerang manusia tanpa mengira pangkat mahu pun darjat.

“Kita insaf bahawa kesihatan dikurniakan Allah SWT tidak ternilai harganya.

“Wabak Covid-19 turut mengajar kita bahawa setiap manusia mempunyai pertalian hubungan yang rapat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” titah baginda menerusi perutusan sempena Aidilfitri, malam tadi.

Baginda bertitah, sempena kedatangan bulan mulia ini, jasa komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang mencurah khidmat bakti dengan gigih dalam membendung wabak Covid-19 perlu dihargai.

“Beta menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada lebaran ini terutamanya petugas kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua anggota agensi kerajaan yang bertugas menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.

“Kepada rakyat Malaysia, terus mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian. Terus menjaga kebersihan diri, mengamalkan penjarakan sosial dan hindari aktiviti tidak penting,” titah baginda.

Baginda berkeyakinan berkat semangat dan kekuatan jati diri bangsa Malaysia serta perpaduan yang utuh, Malaysia mampu menumpaskan Covid-19 selamanya.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga Malaysia akan segera kembali pulih seperti sedia kala agar rakyat dapat mengecap nikmat kerancakan ekonomi dan kemanisan hidup dalam sebuah negara yang maju, aman dan makmur.