‘Terima kasih bantu, saya terharu…’

“TERIMA kasih kepada orang ramai yang bantu, saya sangat terharu dengan sikap prihatin rakyat Malaysia,” kata Intan Zulina Osman, 34.

Anak tunggal kepada pasangan orang kurang upaya (OKU) terlantar itu berkata, sejak berita mengenai keluarganya disiarkan dalam portal berita Harian Metro semalam, dia tidak berhenti menerima panggilan dan WhatsApp daripada orang ramai untuk membantunya.

Katanya, ramai individu sudah memasukkan duit menerusi nombor akaun bank miliknya, selain ada datang ke rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar, Kubang Pasu, untuk menyerahkan bantuan.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana menghantar ramai hamba-Nya untuk membantu saya yang turut terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Orang ramai di luar sana sangat baik hati, ada yang mahu membeli ketuhar baharu kepada saya selain lampin pakai buang kepada ibu bapa saya.

“Selain itu saya berterima kasih kepada wartawan yang menyiarkan berita mengenai keluarga saya sehingga hadir bantuan yang begitu banyak,” kata ibu tunggal kepada tiga anak itu.

Intan berkata, dia akan menggunakan sumbangan wang tunai orang ramai untuk membeli barang keperluan mereka sekeluarga selain menyimpan untuk kecemasan.

Semalam, Intan berkongsi keperitan rutin harian dilalui bagi memikul tanggungjawab menjaga ibu dan bapanya sejak 18 tahun lalu.

Ibunya, Siti Zabedah Saidin, 74, dan bapa, Osman Jusoh, 80, adalah OKU fizikal terlantar dan langsung tidak berupaya melakukan apa-apa, termasuk menguruskan diri mereka sendiri.

Dia mencari rezeki dengan mengambil upah membuat kuih karas dengan pendapatan kira-kira RM25 sehari namun akibat PKP, dia hilang pekerjaan itu.

Berita berkaitan

• ‘Cekal jaga ibu bapa OKU [METROTV]’