Terengganu Inc sumbang RM1 juta

SYARIKAT pegangan pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menyumbangkan RM1 juta kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu, hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak berkata, pihaknya menyokong inisiatif kerajaan negeri mewujudkan tabung bantuan itu.

Beliau berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu golongan memerlukan dalam tempoh yang mencabar ini terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini dalam usaha membendung virus pandemik ini.

“Selain itu, Terengganu Inc turut menyumbang bekalan makanan harian kepada 140 keluarga yang terjejas di seluruh Terengganu melalui Majlis Belia Negeri Terengganu berjumlah RM12,000.

“Saya juga memuji usaha gigih kerajaan dalam menangani keadaan semasa dengan pelbagai insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar demi kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada doktor, jururawat, pekerja kesihatan, polis, tentera dan pihak berkuasa yang menjadi barisan hadapan mendepani wabak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap penularan wabak dapat dibendung sebaiknya dan negara kembali pulih.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menerima sumbangan daripada Wan Ahmad Rudirman dalam satu majlis yang di Kediaman Seri Iman di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir menyerahkan sumbangan adalah wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Konsortium KAJV Sdn Bhd dengan jumlah terkumpul Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu sebanyak RM3.8 juta.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19