Terengganu anjur bazar Ramadan ‘online’

KERAJAAN Terengganu akan mewujudkan bazar Ramadan dalam talian bagi membantu peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa, tahun ini.

Kaedah itu diwujudkan selepas kerajaan negeri memutuskan membatalkan penganjuran bazar berkenaan, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman menjelaskan, ia akan dipantau Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Jelasnya, pusat khidmat di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik sebagai pentadbir kepada bazar Ramadan atas talian yang diwujudkan kerajaan.

“Penerangan kaedah penggunaan sistem bazar Ramadan dalam talian itu akan dilakukan kepada semua petugas Teknologi Maklumat (IT) di pusat khidmat DUN,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera menjelaskan peniaga berminat menyertai bazar itu boleh berdaftar untuk menggunakan kemudahan berkenaan melalui sistem yang akan diwujudkan pada minggu kedua bulan depan.

Jelasnya, bagi memudahkan peniaga dan pengguna, semua urus niaga dilakukan menerusi melalui e-wallet.

Ketika mengulas inisiatif bagi membantu peniaga yang terjejas teruk berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd Nurkhuzaini menjelaskan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk membantu golongan berkenaan.

Jelasnya, peruntukan untuk kemudahan peniaga mendapatkan pinjaman tanpa faedah itu disalurkan kepada Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS).

“Peniaga boleh mengemukakan permohonan pinjaman tanpa faedah menerusi tabung dikelolakan YPU,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan