Tempuh lima sekatan jalan raya untuk dialisis

TERPAKSA menempuh lima sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mematahkan semangat pesakit buah pinggang untuk menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Shaari Ali, 45, yang disahkan menghidap penyakit itu sejak 2008 berkata, perjalanan dari rumahnya di Bukit Naga, Klang mengambil masa kira-kira 16 kilometer untuk ke Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Cawangan Shah Alam yang terletak di Seksyen 3.

Katanya, walaupun jarak terbabit melebihi lingkungan radius 10 kilometer (km) dari rumahnya, Shaari yakin anggota polis dan tentera di setiap sekatan jalan raya memahami keadaannya.

“Setiap minggu saya perlu menjalani tiga kali rawatan iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat, jam 7 sehingga 11 pagi, saya dihantar oleh isteri saya yang kebetulan tidak bekerja pada waktu PKP.

“Setiap kali pergi, kami melalui empat sekatan jalan raya dan balik pula lima sekatan jalan raya seperti Jambatan Connought, Teluk Menegon, Seksyen 7, berhampiran Universiti Industri Selangor (Unisel).

“Tetapi bagi saya, kalau dokumen perjalanan kita cukup seperti saya ada surat pengesahan dari pihak MAIS untuk tujuan rawatan dialisis, tiada masalah tambahan pula saya tampal di sebelah dalam cermin kereta, polis baca dan faham,” katanya ketika ditemui di pusat rawatan itu baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Nazri Abd Rahman, 45, pula berkata, walaupun pesakit seperti mereka diberi pengecualian demi menjalani rawatan kesihatan, dia tetap membawa surat pengesahan MAIS sepanjang masa.

Dia yang memandu sendiri dari Cheras sejauh kira-kira 26 km iaitu melebihi radius yang ditetapkan sepanjang PKP fasa dua juga menjalani tiga sesi rawatan setiap minggu, antara jam 3.30 hingga 7.30 petang.

“Setakat ini Alhamdulillah, tidak pernah ditahan ketika melalui sekatan jalan raya walaupun saya melalui dua sekatan.

“Saya memilih membuat rawatan di sini sebab saya bekerja di sebuah syarikat swasta di Shah Alam, jadi lepas waktu kerja terus ke sini, cuma sekarang tidak bekerja dan terus datang tiga kali seminggu,” katanya.

Bagi Faridah Saleh, 54, seorang pemandu teksi, perjalanan sejauh 25 kilometer dari Kota Damansara menjadi lebih cepat ketika PKP berbanding hari biasa.

“Bagi saya, sekatan jalan raya atau jarak terhad (10 km) ini tidak mengganggu jadual rawatan kami sebab kami ada surat pengesahan dari MAIS.

“Tetapi, sepanjang tempoh PKP ini, saya pernah sekali diarahkan berpatah balik sebab tiada surat pengesahan bersama saya ketika itu, tetapi selepas itu saya pastikan sentiasa bawa surat pengesahan MAIS.

“Walaupun perjalanan saya jauh tetapi saya hanya melalui satu sekatan jalan raya sahaja iaitu berhampiran tol Kota Damansara,” katanya.

Pada 1 April lalu, ,media melaporkan rakyat hanya boleh bergerak dalam lingkungan radius 10 km dari kediaman masing-masing ketika kawalan pergerakan dilaksanakan, meskipun untuk tujuan membeli makanan atau ubat.

Perkara itu dinyatakan dalam syarat-syarat pergerakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Syarat itu menyatakan, jika seseorang bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan yang mempunyai jangkitan, mereka perlu ke tempat paling hampir dengan kediamannya sama ada untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet.

Syarat itu turut menyatakan, mereka tidak boleh disertai (ditemani) orang lain kecuali dengan alasan munasabah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan