Teman lelaki kes remaja campak bayi ditahan

LELAKI berusia 18 tahun sudah ditahan polis malam tadi, bagi membantu siasatan terhadap kes bayi perempuan yang dicampak dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir, Bayan Baru, Rabu lalu.

Suspek yang juga teman lelaki kepada ibu bayi itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Bayan Baru pada 8.40 malam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai, mengaku mengenali ibu bayi itu sebagai kekasihnya.

“Siasatan mendapati lelaki itu berasal dari Kampung Padang Bekuai, Selarong, Pengkalan Hulu, Perak dan kini menetap di Bayan Lepas, dekat sini.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Anbalagan berkata siasatan lanjut akan dijalankan selepas pihaknya memperoleh permohonan reman dari mahkamah.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 8 pagi pada Rabu lalu, bayi berkenaan ditemui penghuni flat selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah.

Ibu bayi itu yang juga pembantu kedai berusia 18 tahun itu mengaku melahirkan bayi pada 7 pagi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga.

Suspek mendakwa membuang bayinya dari tingkat empat rumah selepas panik dan mengelak diketahui ahli keluarga.

Selain kecederaan pada otak, bayi malang itu turut dilaporkan mengalami retak tempurung kepala dan kecederaan pada hati.

Berita berkaitan

• Polis buru bapa bayi dicampak

• Campak bayi dari tingkat 4