Teliti doktrin, latihan tentera hadapi Covid-19

TENTERA Darat Malaysia (TDM) meneliti semula doktrin, latihan dan kelengkapan bagi menghadapi ancaman luar jangka seperti yang dihadapi apabila negara dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, arahan sudah diberikan kepada Timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah serta Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman untuk meneliti ancaman yang dihadapi negara sekarang.

Beliau berkata, penelitian itu meliputi sejauh mana implikasi wabak itu terhadap kesiapsiagaan dan kebolehan TDM untuk diatur gerak bagi melaksanakan operasi.

“Kita tidak pernah menghadapi ancaman seperti ini kerana anggota tentera lazimnya dilatih untuk berperang dengan musuh yang kelihatan.

“Tetapi, apa yang sedang kita hadapi sekarang ialah musuh yang tidak nampak, tiada bau dan tiada rasa,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan ke lokasi sekatan jalan raya di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di Kuching, hari ini.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail dan Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Din Abu.

Ahmad Hasbullah berkata, selain mengkaji latihan khusus bagi menghadapi ancaman baharu itu, turut diteliti kaedah yang diguna pakai oleh angkatan tentera negara lain.

“Kita perlu menubuhkan satu team (pasukan) untuk mengkaji pendekatan perlu di seluruh negara dan juga di dunia, bagaimana angkatan bersenjata negara lain menghadapi musuh yang tidak kelihatan itu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, antara 10,000 hingga 12,000 anggota tentera kini digerakkan untuk menghadapi pandemik Covid-19 dalam Ops Penawar serta penugasan mengawal ketat sempadan negara dalam Ops Kerangka.

Katanya, selain pandemik Covid-19, negara kini turut menghadapi masalah kebanjiran pendatang asing.

Justeru, beliau merayu bantuan masyarakat awam untuk menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan bagi mengesan kemasukan haram ke negara ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan