Tawar pelacur asing di laman sesawang

SINDIKET pelacuran menggunakan laman sesawang ‘Subang Esscort’ untuk promosi warga asing kepada lelaki tempatan, sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah hotel di Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, 4 petang hari ini.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di lima bilik di hotel berkenaan yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran menggunakan laman sesawang terbabit.

“Hasil pemeriksaan, kami menahan tiga wanita warga China, seorang wanita warga Mongolia dan seorang wanita Kazakhstan berusia 24 hingga 35 tahun yang disyaki bekerja sebagai pelacur.

“Kami turut merampas telefon bimbit, kondom, gel pelincir, kad akses bilik hotel dan wang tunai berjumlah RM2,500 dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Azmi berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu didalangi seorang lelaki tempatan yang bergiat aktif di kawasan Subang Jaya.

Beliau berkata, sindiket itu menjadikan hotel itu sebagai lokasi aktiviti pelacuran dengan menempatkan setiap pelacur tinggal di bilik masing-masing yang disewa khas.

“Dianggarkan bayaran RM310 hingga RM350 dikenakan bagi sekali perkhidmatan seks dan RM2,000 bagi tempahan satu malam.

“Aktiviti pelacuran dipercayai beroperasi selama 12 jam setiap hari dan sindiket ini menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat sebagai saluran memikat pelanggan dengan bayaran tunai dibuat semasa berada di dalam bilik hotel.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis USJ 8 untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya.