Taska jabatan kerajaan di Pulau Pinang boleh beroperasi

TAMAN Asuhan Kanak-kanak atau Taska di jabatan kerajaan di Pulau Pinang dibenarkan beroperasi semula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata, ia membabitkan pembukaan semula sebanyak 15 taska.

Katanya, mereka perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“SOP berkenaan ialah kapasiti taska dengan hanya seramai 50 peratus kanak-kanak mengikut keluasan ruang lantai dan perlu mengamalkan penjarakan sosial dalam ruang kegiatan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang sudah memanjangkan SOP dan panduan yang perlu dipatuhi kepada pihak taska bagi rujukan serta pelaksanaan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Taska Pulau Pinang untuk berbincang perkara berkaitan dengan persediaan dan pematuhan SOP bagi taska swasta yang berdaftar dengan JKM, di bawah persatuan itu.

Katanya, pihak persatuan berkenaan juga merayu dan berharap operasi taska swasta turut dipertimbangkan.

“Kerajaan negeri faham masalah yang mereka hadapi, namun perbincangan itu masih diteliti sebelum keputusan dibuat.

“Semua pihak diminta berdisiplin dengan mengamalkan perjarakan sosial dan kerap mencuci tangan ketika berada tempat awam semasa PKPB ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan