Tangguh kebenaran kedai gunting rambut beroperasi

KERAJAAN negeri mengambil ketetapan untuk menangguhkan terlebih dulu kebenaran beroperasi ke atas kedai gunting rambut dan cermin mata sehingga

mendapat satu prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya bimbang terhadap kedua-dua perkhidmatan itu yang dilihat berurus niaga secara terus dengan masyarakat tanpa

adanya jarakan sosial yang digariskan KKM bagi mengekang penularan wabak koronavirus COVID-19.

“Kita mengambil maklum keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan dua jenis perniagaan iaitu kedai gunting rambut dan kedai cermin mata untuk beroperasi.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menangguhkan kebenaran beroperasi ke atas kedai terbabit sehingga mendapat SOP yang dikeluarkan oleh KKM.

“Kita harap ada satu garis panduan dikeluarkan kerana ia membabitkan urusanterus dengan masyarakat dan harap ada SOP ditetapkan sebelum kita akan benarkan beroperasi.

“Kita mengambil kira risiko penyebaran COVID-19 sekiranya kedua-dua jenis perniagaan ini berjalan tanpa SOP daripada KKM. Oleh itu, berharap rakyat dapat bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Kerajaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam, menyenaraikan sembilan sektor ekonomi termasuk perkhidmatan gunting rambut asas dan kedai cermin mata yang boleh membuat permohonan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, senarai berkenaan diperoleh hasil sesi libat urus MITI dengan persatuan industri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kementerian dan agensi berkaitan termasuk KKM serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kedai gunting rambut perlu ada SOP yang lebih ketat daripada kementerian sebab ini kontak langsung yang paling rapat tanpa ada jarakan sosial.

Beliau menggesa masyarakat mengamalkan penjarakkan sosial serta amalan kebersihan seperti yang disarankan oleh KKM.

“Ikut arahan PKP dan amalkan penjarakkan sosial untuk kita sama-sama membendung dan menyekat rantaian Covid-19 ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19