Tangguh aktiviti masjid, surau di Melaka

PENANGGUHAN aktiviti di masjid dan surau di seluruh Melaka yang sepatutnya berakhir semalam, dilanjutkan hingga 14 April ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil dalam kenyataannya di Melaka malam tadi berkata, ia sejajar dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mulai hari ini hingga 14 April ini.

“Saya selaku Pengerusi dan bagi pihak Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Ketua Agama Negeri Melaka, menitahkan agar rakyat Malaysia mematuhi PKP.

“Ketetapan ini dibuat dengan mengambil kira perutusan khas Perdana Menteri pada 25 Mac lalu berkaitan lanjutan PKP hingga 14 April 2020 bagi membendung wabak Covid-19,” katanya.

ABDUL Halim Tawil. FOTO Hassan Omar
ABDUL Halim Tawil. FOTO Hassan Omar

Sehubungan itu, Abdul Halim menegaskan, tiada solat Jumaat pada 3 dan 10 April ini, sebaliknya hanya solat fardu Zuhur ditunaikan di kediaman masing-masing.

Beliau turut mengumumkan ketiadaan operasi pejabat Jabatan Mufti Melaka dan Kompleks Falak al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, dekat Alor Gajah dilanjutkan hingga 14 April ini.

Menurutnya,

umat Islam diminta menghulurkan sumbangan kepada Tabung Musa’adah Covid-19 Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 04015010006080.

“Di sebalik musibah melanda seluruh dunia, ia memberi ruang untuk kita menyumbangkan khidmat bakti kepada kumpulan sasar yang memerlukan.

“Santunilah dan bantulah mereka yang memerlukan, semoga Allah SWT merahmati kita dengan menurunkan hujan rahmat-Nya di negeri ini dan menghapuskan Covid-19,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali mengumumkan catuan air di seluruh negeri mulai 29 Januari lalu ditamatkan hari ini berikutan peningkatan paras air di tiga empangan utama susulan hujan lebat di kawasan tadahan hujan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan