Tangan hanyut

PENDUDUK Kampung Tengah, Dalat, di Mukah, gempar dengan penemuan bahagian tubuh, dipercayai tapak tangan manusia yang hanyut di Sungai Oya, pagi tadi.

Widia Semuli, 30-an berkata, tapak tangan itu yang tersangkut di jeti rumah mereka jam 7 pagi tadi ditemui anaknya.

Beliau yang terkejut selepas dimaklumkan dengan penemuan itu kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Ketika itu anak saya ke jeti dan ternampak objek pelik seperti tapak tangan manusia dan saya segera melihatnya selepas diberitahu mengenai objek itu.

“Saya kemudiannya menghubungi polis dan mereka mengambilnya untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Widia berkata, sehingga malam ini mereka belum menerima maklumat lanjut hasil pemeriksaan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat sudah membawa tapak tangan seakan tangan manusia itu ke Hospital Dalat untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini tiada laporan orang hilang atau dibaham buaya diterima di IPD Dalat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.