Tambah makmal ujian Covid-19 [METROTV]

KAPASITI makmal Kementerian Kesihatan (KKM) yang terbabit dalam menjalankan ujian pengesanan Covid-19 diperluaskan dengan bantuan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KPT dan MOSTI telah menyediakan 10 makmal diagnostik tambahan di institusi pengajian tinggi, hospital pengajar universiti (HPU), termasuk satu makmal bergerak yang boleh dihantar ke kawasan lokasi panas.

“Kesemua 10 makmal diagnostik tambahan itu akan dapat melaksanakan 42,420 ujian pengesanan sebulan atau 1,414 sehari,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada peringkat awal, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjadi satu-satunya makmal yang terbabit secara langsung dalam menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di Malaysia dan kemudian diperluaskan kepada 25 makmal di seluruh negara, termasuk tujuh makmal swasta.

Gambar fail, sampel yang perlu diuji untuk ujian Covid-19. FOTO Aizuddin Saad.
Gambar fail, sampel yang perlu diuji untuk ujian Covid-19. FOTO Aizuddin Saad.

Dalam pada itu, beliau menyeru lebih ramai sukarelawan kesihatan tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan Covid-19 dengan mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan dan Perubatan Covid-19 di laman sesawang Facebook KKM.

Jelasnya, sehingga hari ini seramai 157 sukarelawan kesihatan dan perubatan telah menyertai dan ditugaskan sebagai sukarelawan yang ditempatkan secara berperingkat untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan Covid-19.

“Sejumlah 1,008 orang lagi bakal menyertai pasukan perubatan di hospital, iaitu mereka terdiri daripada pelbagai profesion perubatan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihati individu yang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 serta ahli keluarga, mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak dijangkiti wabak itu, serta memastikan bekalan ubat mencukupi dan tidak terputus.

Ini kerana daripada 34 kes kematian berkaitan Covid-19 yang direkod setakat ini, didapati 55.6 peratus adalah berumur 60 tahun dan ke atas, manakala 67.6 peratus menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, penyakit buah pinggang dan penyakit jantung.

Beliau berkata individu tersebut lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih serius iaitu akan mengalami gejala dan komplikasi yang teruk.

Beliau turut memaklumkan perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan di semua fasiliti kesihatan KKM khususnya bagi temu janji rawatan susulan dan mendapatkan bekalan ubat-ubatan.

Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan pada Isnin hingga Jumaat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19