Tak sabar menunggu PKP berakhir

SAAT berada di rumah sendiri selepas ‘terkandas’ di kampung sejak tiga minggu lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu menjadi impian ditunggu-tunggu.

Begitu keadaan Norzalazila Awang Kechil, 41, yang kini berada di rumah mentuanya di Kampung Bidor, Perak apabila menunggu masa untuk pulang ke rumahnya di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Norzalazila berkata, sebelum itu dia pulang ke kampung bersama suami serta dua anak berusia lima dan 10 tahun bagi menjenguk mentua pada 15 Mac lalu, dua hari sebelum PKP dilaksanakan.

“Kami hanya bawa pulang pakaian bagi kegunaan selama dua hari dan pakaian itulah kami gunakan sepanjang tempoh ini.

“Demi mengikut saranan kerajaan supaya berada di rumah, kami ambil keputusan tidak pulang ke Seberang Jaya pada hari itu memandangkan kilang tempat suami bekerja juga diberi cuti,” katanya.

Norzalazila yang juga peniaga nasi lemak berkata, pada masa sama dia juga tidak dapat berniaga menyebabkan hilang pendapatan sepanjang tempoh itu.

“Peniaga kecil seperti kami, jika berniaga adalah sedikit wang dan saat ini peniaga kecil seperti kami memang amat terkesan. Memang menjadi harapan semua semoga semuanya cepat berlalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan