Tak pernah terlintas serah cucu…

“TIDAK pernah terlintas (di fikiran) nak serahkan cucu kepada orang lain. Selagi masih hidup, saya akan menjaga mereka,” kata Zurina Harun, 56.

Zurina berkata demikian berkongsi kisah tiga cucunya yang tular di media sosial sejak semalam berikutan tidak keupayaan mereka kerana mengidap pelbagai penyakit kronik.

Zurina berkata, cucu pertama Nur Arriana Abdul Rahman, 14, menghidup jantung berlubang sejak bayi dan Qhaseh Qistina, 8, pula pesakit kanser darah tahap dua sejak berusia dua tahun.

Manakala Ilham Shafiq, 16 bulan, pula mempunyai lima masalah kesihatan membabitkan tulang belakang, jantung berlubang, masalah lidah pendek, buah pinggang dan berkaitan alat sulit.

Menurutnya, anaknya yang juga ibu kepada cucunya itu meninggal dunia lima bulan lalu akibat pelbagai penyakit termasuk angin ahmar, kencing manis dan darah tinggi manakala bapa mereka pula menghilangkan diri sejak itu.

“Saya berniaga kuih di depan rumah bagi menyara keperluan mereka serta membayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya terpaksa berhenti buat sementara waktu.

“Syukurlah kami belum pernah keputusan makanan kerana jiran dan masyarakat di sini amat mengambil berat mengenai keperluan kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Makam, Jalan Dato Keramat, dekat Georgetown.

Daripada tiga beradik itu, hanya Qhaseh Qistina yang menerima bantuan bulanan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM400 dan digunakan bagi membeli susu khas bernilai RM90 satu tin untuk kegunaan selama kira-kira seminggu.

Katanya, Qhaseh Qistina pernah diberikan susu lain yang lebih murah namun mengalami radang usus dan terpaksa dimasukkan ke wad kerana susu itu tidak sesuai.

Mengulas lanjut Zurina berkata, rumahnya tidak putus menerima sumbangan sejak semalam dan berasa bersyukur dengan keprihatinan masyarakat.

“Cuma kini saya amat memerlukan bantuan bagi membayar bil rawatan mereka, membeli lampin pakai buang dan dua jenis susu khas, memang saya tidak mampu kerana harganya yang agak tinggi,” katanya lagi.

Zurina berkata, kesemua cucunya juga sering dimasukkan ke wad berikutan masalah kesihatan masing-masing malah dia sendiri tidak sihat kerana menderita penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Pergelangan tangan kanan saya patah namun tidak menjalani pembedahan kerana bimbang nasib cucunya.

“Pernah juga saya terpaksa berjalan ke hospital lebih dua kilometer berulang alik kerana tiada kenderaan bagi menghantar Ilham Shafiq yang terkena serangan jantung pada jam 3 pagi.

“Dalam fikiran saya ketika itu hanya mahu menyelamatkan Ilham Shafiq dan terus ke hospital walaupun dalam keadaan kaki sakit,” katanya lagi.

Difahamkan Ilham Syafiq akan menjalani rawatan bagi penyakit jantung pada 29 April depan.

Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang turut tampil menghulurkan bantuan segera kepada Zurina dan cucunya itu.

Presidennya, Mohd Arshad Abdul Rahman berkata, pendedahan realiti kehidupan seperti ini amat dialu-alukan supaya pemimpin dan masyarakat lebih peka serta turut sama membantu golongan memerlukan.