Tak mengaku ingkar PKP

PEMANDU yang menyebabkan kematian Koperal Safwan Mohamad Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas kesalahan berada di luar rumah tanpa alasan munasabah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 3 Mei lalu.

Tertuduh, K Kalaichelvan, 44, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam kawasan jangkitan seperti diwartakan dalam Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 pagi di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), 3 Mei lalu.

Kesalahan mengikut Peraturan 3(1) yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (No 4) 2020.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan penjara atau keduanya.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin manakala tertuduh diwakili peguam bela Haijan Omar dan Ravin Jay.

Muhammad Hairuliqram mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM10,000.

Haijan kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan lebih rendah memandangkan tertuduh sudah dikenakan jaminan RM20,000 bagi tiga pertuduhan menyebabkan kematian di Mahkamah Sesyen.

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM1,000 dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan