Tak fikir untung, janji boleh jual

PENIAGA ikan bilis dan produk hasil laut di Lumut mula melakukan jualan secara atas talian akibat terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan Covid-19.

Fazilah Che Tan, 42, berkata dia terpaksa mencari alternatif lain untuk terus memasarkan bekalan ikan bilis selepas mengalami kekurangan pelanggan di premisnya.

Menurutnya, sebelum ini ikan bilis mata biru dari Pulau Pangkor mendapat permintaan tinggi, tetapi penularan wabak Covid-19 sangat memberi kesan kepada perniagaannya.

“Saya terpaksa menurunkan harga kerana bimbang bekalan akan rosak jika tiada jualan. Sebelum ini ikan bilis mata biru dijual RM70 hingga RM100 sekilogram tetapi sekarang antara RM50 hingga RM80 mengikut saiz dan gred.

“Sekarang memang tak fikir untung, janji lepas modal saja sudah cukup, boleh dikatakan perniagaan menurun hampir 90 peratus dan ini kali pertama saya lihat Lumut lengang tanpa pengunjung terutama hari minggu,” katanya.

Peniaga lain Rokiah Syed Mohd Akhir, 63, berkata pendapatannya terjejas sejak wabak terbabit melanda negara apabila hanya memperoleh jualan sekitar RM50 hingga RM70 dan kadang kala tiada jualan langsung.

“Sebelum ini hari Sabtu dan Ahad memang meriah di sini (Lumut), tetapi suasana berubah ketika ini.

“Ikan bilis hanya dibeli orang tempatan saja sekarang dan produk makanan hasil laut seperti sate ikan dan keropok banyak dibeli pelancong, jadi jualan memang terjejas juga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan