Tak boleh gunting rambut rumah ke rumah

MAJLIS Bandaraya Seberang Prai (MBSP) tidak membenarkan perkhidmatan gunting rambut rumah ke rumah dilakukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandarnya, Datuk Rozali Mohamud berkata, ia berikutan kebimbangan terhadap peralatan yang tidak disanitasi dengan baik selain mahu mengelak penularan wabak Covid-19.

“Ia juga selaras dengan pendirian kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan kelonggaran operasi dan perkhidmatan gunting rambut walaupun di zon hijau,” katanya yang ditemui media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown hari ini.

Di Pulau Pinang, terdapat 1,259 kedai gunting rambut di MBSP dan 386 lagi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Sementara itu, seramai 140 penjaja dan 40 peniaga bazar Ramadan di Georgetown sudah mendaftar untuk menyertai jualan secara dalam talian kendalian MBPP, ‘[email protected]’.

Menurut Datuk Bandar MBPP Yew Tung Seang berkata, jumlah itu direkodkan dalam tujuh hari selepas platform itu dilancarkan dan diharap memanfaatkan peniaga serta pembeli sepanjang tempoh PKP.

Katanya, pihaknya juga bersedia mempertimbangkan kekurangan dan kelebihan platform itu terhadap peniaga dan pembeli menerusi maklum balas yang diberikan.

[email protected] yang dilancarkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada 7 April lalu pada awalnya untuk penyertaan peniaga kompleks makanan di bawah seliaan MBPP, namun turut dibuka kepada penjaja dan peniaga bazar Ramadan sejak dua hari lalu.

MBSP dijangka menyediakan platform sama untuk kawasan pentadbirannya, yang dilancar esok.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan