Tahan lapan bot ceroboh pelantar minyak

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan lapan bot pam didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan laut pelantar ERB WEST, di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, PPM Kota Kinabalu yang menerima maklumat daripada Petronas, mengerahkan sepasukan anggota ke kawasan pelantar untuk menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, pasukan PPM mendapati hanya dua bot pam bersama juragan masing-masing berusia 30 dan 31 tahun di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan AK Lageh berkata, hasil maklumat tambahan Petronas, terdapat enam lagi bot pam dirakam di kawasan berkenaan sebelum kehadiran PPM.

“Keenam-enam individu terbabit kemudiannya dikenal pasti pihak Unit Risikan Marin (URM) PPM.

“Sebaik mendapat maklumat, pasukan PPM terus melaksanakan serbuan ke rumah tidak bernombor Di Kampung Pondo, Pulau Gaya dan berjaya menahan semua individu terbabit.

“Semua enam individu itu ditahan mengikut kesalahan Akta Kawasan Larangan 1959,” katanya.

Enturan berkata, beberapa barangan termasuk bot pam suspek turut dirampas sebelum diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah untuk siasatan lanjut.