Syukur tangan menghulur

HANYA rasa syukur dan terima kasih mampu dipanjatkan warga Persatuan Kebajikan Shemariah selepas terpilih menerima sumbangan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020.

Penularan wabak Covid-19 yang kini melanda negara memberi kesan kepada penghuni persatuan berkenaan dan mereka amat mengalu-alukan bantuan ikhlas daripada orang ramai.

Pengerusinya, Narayanasamy Sengani berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu sukar baginya untuk mendapatkan dana bagi menampung keperluan 44 penghuni terdiri dari kanak-kanak berusia satu hingga 18 tahun.

“Rumah kebajikan ini memerlukan kos RM400 sehari atau RM12,000 sebulan bagi menampung keperluan makanan sama ada barangan kering atau basah.

“Kebanyakan penyumbang akan datang sendiri menghantar sumbangan sama ada berupa barang keperluan makanan atau wang namun penyumbang gagal untuk datang ke sini gara-gara PKP,” katanya.

Narayanasamy menunjukkan bilik penginapan penghuni lelaki.
Narayanasamy menunjukkan bilik penginapan penghuni lelaki.

Narayanasamy berkata, dalam tempoh tiga minggu pertama PKP, mereka terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada namun semakin hari wang simpanan semakin berkurangan.

“Penyumbang lebih suka datang sendiri menghantar sumbangan kerana mereka inginkan resit atau surat dari pihak kami sebagai bukti untuk dikemukakan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) namun gagal kerana PKP.

“Sedangkan penyumbang tetap melalui perbankan internet tidak sampai RM5,000 dan situasi ini sedikit sebanyak mempengaruhi kelancaran rumah kebajikan ini.

“Secara kasar, rumah kebajikan ini memerlukan kos sebanyak RM22,000 sebulan merangkumi kos makanan, pelbagai bil, pengurusan dan pentadbiran termasuk gaji pekerja,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Narayanasamy turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada TKHM kerana kesudian menyumbang kewangan untuk membantu meringankan beban rumah kebajikannya.

“Paling utama wang bantuan TKHM ini akan digunakan untuk keperluan makanan penghuni terlebih dahulu manakala keperluan lain itu boleh ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.

Rumah kebajikan yang mula beroperasi sejak 2003 itu memiliki penghuni dari keturunan India terdiri dari anak yatim, keluarga kurang bernasib baik serta mempunyai masalah keluarga.

Difahamkan, sepanjang PKP dilaksanakan semua penghuni tidak dibenarkan balik ke kampung dan hanya melaksanakan aktiviti yang diatur seperti mengulang kaji pelajaran serta beriadah di kawasan rumah kebajikan sahaja.

Untuk rekod, rumah kebajikan ini juga sudah melahirkan ramai penghuni yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) serta menceburi kerja di industri minyak dan gas.

TKHM Ramadan 2020 mendapat kerjasama PLUS dan LPT2 membantu rumah kebajikan terpilih dengan menyalurkan dana terkumpul RM65,000.

Pendekatan program kali ini berbeza berbanding tahun sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19.

Semua 13 rumah kebajikan di Semenanjung berkenaan dipilih PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selepas disenaraikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dibahagikan kepada wilayah utara, selatan, timur dan tengah.