Syukur dapat pulang ke tanah air

HANYA rasa syukur dan lega terlintas di hati rakyat Malaysia yang tiba di tanah air dari Russia, hari ini selepas terkandas di negara itu susulan sekatan perjalanan akibat wabak Covid-19.

Hermy Dillmona Abdillah, 44, berkata dia berada di negara itu sejak tiga bulan lepas sebelum dapat kembali ke tanah air menerusi bantuan Kedutaan Malaysia di Russia.

“Gembira dapat pulang meskipun terpaksa dikuarantin 14 hari dan tidak boleh bertemu keluarga lagi, saya bersyukur sebab sudah dapat pulang ke Malaysia.

“Terima kasih kepada kedutaan kita di sana yang sangat mengambil berat situasi kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hermy Dillmona adalah antara 238 rakyat Malaysia yang tiba di tanah air pada 4.40 petang hari ini menerusi pesawat Aeroflot SU6697.

Mengenai situasi terkini di Russia, katanya, keadaan terkawal, namun jumlah kes baharu agak membimbangkan menyebabkan dia dan rakan, Shahren Junaidi, 45, yang bekerja di Yamal LNG mengambil keputusan untuk pulang.

“Kami bekerja di daerah Sabetta, Wilayah Yamalo-Nenets di utara garisan Artik. Meskipun kawasan itu terpencil, kes Covid-19 tetap hadir.

“Sekiranya tidak pulang dalam waktu terdekat kemungkinan kami akan terkandas lebih lama di sana,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Perasaan sama dikongsi penuntut perubatan I M Sechenov First Moscow State Medical University, Noor Adelynna Shaqeeraz Azhar, 24 dan adiknya Noor Afdzal Shaqeel, 21, pelajar jurusan kejuruteraan penerbangan di Moscow Aviation Institute, sejurus tiba di tanah air selepas mengharungi penerbangan hampir 10 jam.

Menurut Noor Adelynna Shaqeeraz, keputusan untuk pulang ke Malaysia dibuat selepas berbincang dengan anggota keluarga susulan situasi pandemik di negara itu yang semakin meruncing.

“Kami dapat tahu berkenaan penerbangan diaturkan untuk balik ke Malaysia pada Jumaat lalu daripada pihak kedutaan, rasa lega sangat lepas terima maklumat itu,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, meskipun keletihan, dia amat berpuas hati dengan prosedur perjalanan pulang diatur kerajaan.

Pada Mac lalu, kerajaan Russia menutup semua sempadan negara itu dan menggantung operasi penerbangan komersial. Terkini, pegawai kesihatan negara itu melaporkan sebanyak 3,249 kematian dan 326,448 kes, iaitu jumlah jangkitan kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.