Syor penjarakan sosial di taman awam [METROTV]

PERBINCANGAN akan diadakan bersama pihak berkaitan bagi memastikan penjarakan sosial di kawasan seperti taman awam dipatuhi sebaik mungkin oleh masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan ketika ini sudah pun memberi kelonggaran kepada rakyat bagi membolehkan aktiviti sosial seperti bersenam dan berjoging dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, amat penting untuk penjarakan sosial terus menjadi keutamaan meskipun ketika melakukan riadah itu di tempat awam.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan-badan lain yang berkaitan untuk memastikan ada pemantauan terhadap penjarakan sosial ini.

“Kita juga melihat kepada saranan WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) yang mana tidak semestinya pihak berkuasa seperti MKN, polis atau Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) perlu berada di tempat terbabit untuk memantau.

“Sebaliknya masyarakat sendiri boleh pastikan adanya penjarakan sosial, itu yang lebih penting untuk diamalkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berharap rakyat Malaysia sedar dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang kini dilonggarkan untuk tujuan bersenam dan sebagainya.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengambil alih pelaksanaan PKP Fasa 4 pada 5 Mei lalu, bersenam sendirian di taman awam antara aktiviti yang diberi kebenaran untuk dilakukan dengan syarat pematuhan terhadap SOP termasuk penjarakan sosial.

Dalam hal itu, Hisham ditanya wartawan jika Kementerian Kesihatan Malaysia bercadang mengeluarkan satu syor kepada MKN untuk mengawal pergerakan orang ramai ketika di taman awam supaya tidak timbul kluster baharu kelak.

Ia susulan difahamkan ketika ini didapati wujud sesetengah taman awam yanv sesak dengan orang ramai yang berjoging dan tiada penjarakan sosial.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan