‘Super hero’ hantar barangan asas, basah

SEORANG lelaki menggunakan kreativiti tersendiri dengan memakai kostum ‘super hero’ untuk menjalankan khidmat pembayaran tunai semasa serahan (COD) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Fakri Rabys, 35, berkata selain untuk mencari pendapatan sampingan ketika PKP, dia mengenakan pelbagai kostum super hero ketika COD di sekitar Kota Bharu, bagi menghiburkan mereka yang menggunakan khidmatnya.

Katanya, usahanya itu bukan sahaja memudahkan isi rumah untuk mendapatkan bekalan asas, malah menghiburkan mereka yang kebosanan dan tertekan kerana tidak boleh keluar ke mana-mana sejajar dengan arahan kerajaan.

“Saya sebenarnya pengusaha kedai makan di Warong Poksu Superhero, namun ia ditutup seketika dalam tempoh ini menyebabkan timbul idea untuk menjalankan khidmat COD barangan asas seperti beras, telur, sayur-sayuran dan barangan basah.

“Memandangkan saya memiliki lebih 25 kostum pelbagai super hero, jadi saya menggunakannya pada tempoh ini untuk menjana pendapatan.

“Saya membuat kelainan dengan membuat penghantaran ke rumah dengan memakai sut lengkap terbabit dan setiap hari memakai kostum berbeza seperti Spiderman, Batman, Splash, Black Panther dan Bumblebee Transformers untuk membuat penghantaran,” katanya ketika ditemui di Warong Paksu Superhero di Kampung Kota, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Fakri berkata, dia mengenakan caj bermula RM3 sehingga RM5 bergantung kepada jarak penghantaran dan mengakui hasilnya tidak seberapa, tetapi berasa puas melihat senyuman serta kegembiraan terpancar di wajah pelanggan terutama golongan kanak-kanak.

Dia yang turut mendapat sokongan daripada isteri, Munirah Mustafa, 32, berkata, semua kostum terbabit dibeli dari pelbagai negara seperti Thailand, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan