Sungai Klang dicemari penutup mulut dan hidung

PENUTUP mulut dan hidung, botol cecair pembasmi kuman serta sarung tangan pakai buang adalah antara sampah yang paling banyak ditemui di Sungai Klang sejak Mac lalu.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nor berkata, sebagai syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja pembersihan Sungai Klang, pihaknya mengesan peningkatan sampah itu dalam sungai berkenaan.

“Sejak bulan lalu, kami perasan terdapat peningkatan sampah jenis baharu dalam sungai, antaranya topeng muka (penutup mulut dan hidung), sarung tangan pakai buang dan botol kecil cecair pembasmi kuman, selain sampah biasa seperti bahan pembungkusan makanan pakai-buang, kotak minuman dan botol plastik.

“Walaupun barang-barang terbuang yang baharu itu dianggap perlu untuk keselamatan peribadi dan kebersihan seperti yang dinasihati oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan Covid-19, masyarakat perlu mengamalkan kaedah pelupusan yang betul.

“Barangan ini perlu dibuang ke dalam tong sampah dan tidak dibuang merata-rata yang mana ia boleh tercampak ke dalam longkang yang akhirnya mengalir ke dalam sungai, lalu menyumbang kepada pencemaran sungai,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Syaiful Azmen mengajak rakyat di Selangor untuk menguji bakat artistik masing-masing menerusi pertandingan komik ‘SMG Water You Doing?’

Katanya, peraduan itu membolehkan orang ramai menggunakan masa lapang mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk berfikir mengenai masa depan sungai di Malaysia.

“Peraduan ‘SMG Water You Doing?’ diharapkan dapat mengingatkan orang ramai tentang kepentingan menjaga sungai di samping mementingkan keselamatan diri,” katanya.

LLSB adalah anak syarikat kerajaan Selangor yang bertanggungjawab bagi projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) untuk kerja-kerja pembersihan Sungai Klang sepanjang 120 kilometer.

Ia bermula dari kawasan sungai di Ampang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan seterusnya Klang.

Sejak November tahun lalu, agensi itu mengutip antara 1,200 hingga ke 1,500 tan sampah sebulan di Sungai Klang.