Sungai Isap catat kes denggi tertinggi

PENDUDUK kawasan perumahan di Sungai Isap, Kuantan diminta lebih peka dan prihatin berikutan lokasi terbabit menunjukkan peningkatan kes denggi tertinggi di Pahang ketika ini.

Setakat ini, tiga lokaliti wabak dikesan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) iaitu di kawasan Sungai Isap-Taman Sungai Isap 1, Taman Sungai Isap Murni dan Taman Sungai Isap Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda berkata, penduduk di Sungai Isap perlu bertindak segera menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Menurutnya, antara tempat yang perlu diberikan keutamaan ialah bekas yang boleh menakung air serta terlindung daripada cahaya matahari.

“Dicadangkan aktiviti membersih dilakukan setiap minggu dalam tempoh 10 minit di persekitaran tempat tinggal atau tempat kerja termasuk di dalam dan di luar premis.

“Bahan buang domestik atau bahan binaan perlu diuruskan dengan sempurna supaya tidak menjadi tempat pembiakan aedes.

“Sebaiknya melakukan pemeriksaan dan rawatan awal sekiranya mengalami tanda dan gejala denggi seperti demam, sakit badan dan sakit sendi di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi memastikan kes demam denggi dapat dikawal dan tidak meningkat di daerah itu khususnya di Sungai Isap, Abd Rahim berkata, pihak PKD, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang akan mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Menurutnya, statistik kes demam denggi di Pahang menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 1,115 kes atau 118.2 peratus dari 1 Januari sehingga 16 Mei lalu berbanding hanya 511 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Daerah Kuantan merekodkan jumlah denggi tertinggi dengan 796 kes iaitu mewakili 71.4 peratus di Pahang.

“Daripada 53 lokaliti wabak yang direkodkan, sebanyak 46 lokasi membabitkan Kuantan iaitu dianggarkan satu kes demam denggi bagi setiap 700 penduduk,” katanya.