Sumbang ‘aerosol head box’ kepada hospital

YAYASAN Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) bersama badan bukan kerajaan (NGO), The Giving Bank Organisation menyumbang pelbagai peralatan dan barangan untuk keperluan petugas barisan hadapan.

Ia bagi membantu memudahkan urusan dan menjamin keselamatan mereka dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata, barangan itu membabitkan pelindung muka, air mineral, snek dan lima unit ‘aerosol head box’ bagi keperluan petugas barisan hadapan di hospital.

Katanya, peralatan itu berupaya mencegah penularan jangkitan virus secara langsung dalam kalangan petugas ketika merawat pesakit Covid-19.

“Usaha ini hasil kerjasama dua NGO dan setakat ini, peralatan berkenaan disumbangkan kepada lapan hospital termasuk di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“Dana diterima MCCF disalurkan untuk membekalkan ‘Aerosol Head Box’ kerana petugas di hospital adalah barisan hadapan paling utama dan perlu dilindungi agar moral serta keselamatan mereka terjamin,” katanya selepas menyerahkan bantuan itu kepada Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di Seremban, hari ini.

Peralatan berkenaan diserahkan kepada Pegawai HTJ, Nurul Ain Ghazali, bagi pihak Pakar Perunding Perubatan, Unit Rheumatologi HTJ, Datuk Gun Suk Chyn.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19