Sudahlah mabuk, kurang ajar pula

POLIS menahan dua lelaki berusia 34 dan 35 tahun yang menjerit-jerit dalam sebuah kereta dipercayai mabuk di Kilometer 10, Jalan Pantai, Port Dickson, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, anggota bertugas mengekori Proton Persona dipandu kedua suspek sehingga ke bulatan Bandar Sunggala.

“Anggota polis mengarahkan suspek berhenti namun tidak diendahkan malah menghimpit pula kenderaan anggota bertugas.

“Suspek akhirnya ditahan selepas kira-kira dua kilometer di jalan Taman Bandar Sunggala,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, suspek cuba membuat provokasi dengan menjerit sambil menghentak bumbung kereta mereka.

“Suspek bertindak agresif, meninggi suara dan enggan memberikan butiran pengenalan diri walaupun beberapa kali diminta.

“Ekoran itu, anggota dibantu oleh peronda bertugas (MPV) menahan kedua-dua suspek kerana enggan memberi kerjasama dan mempertikaikan penugasan polis,” katanya.

Aidi Sham berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah adik-beradik dan mereka dari arah Seremban menghala ke rumah di Bandar Sunggala dalam keadaan mabuk.

“Kedua beradik ini yang mempunyai beberapa rekod dadah dan jenayah lampau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Menghalang Penjawat Awam Menjalankan Tugas) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Beliau berkata, polis menasihatkan orang awam supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan.

“Tiada pergerakan rentas negeri melainkan kebenaran dari polis atas hal kecemasan seperti kematian dan polis mengingatkan kepada semua pihak agar menghormati serta memberi kerjasama kepada pegawai dan anggota bertugas.

“IPD Port Dickson akan terus membuat pemantauan agar masyarakat mengikuti SOP yang digariskan dalam tempoh PKPB ini,” katanya.

Katanya, untuk sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid IPD Port Dickson di talian 06-6472222 sambungan 217.