‘Sudah diberi amaran, tetapi degil…’

WALAUPUN diberi amaran kali pertama, pihak pengurusan sebuah pusat beli-belah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru masih berdegil apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ia diarahkan ditutup selama tujuh hari, bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru (PKDJB) mengarahkan penutupan operasi pusat beli-belah itu bermula 4 petang hari ini sehingga 1 Jun depan.

“Tujuan penutupan kerana pihak pengurusan gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu tiada penjarakan sosial pengunjung, tidak menggunakan pensanitasi tangan dengan betul dan tiada kawalan pengunjung dalaman (tidak elak 3C).

“PKDJB sudah memberi amaran pada 12 tengah hari, hari ini namun pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan tidak mengambil tindakan sepatutnya,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai notis arahan penutupan premis berkenaan oleh KKM sejak petang ini.

Notis berkenaan antara lain memaparkan arahan penutupan premis berkenaan dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula dari 4 petang 25 Mei 2020 sehingga 1 Jun 2020.

Ia bertujuan menjalankan kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit.

Netizen mendakwa arahan penutupan pusat beli-belah terkenal bagi warga Bandaraya Johor Bahru itu berikutan ia dikunjungi terlalu ramai orang menyebabkan kawalan penjarakan sosial sukar dilakukan dengan berkesan.